Tuesday, November 8, 2011

PENTINGNYA ISLAM


Manusia adalah sebahagian daripada makhluk Allah s.w.t. walaupun dibekalkan dengan akal yang dapat membezakan dan memahami sesuatu tetapi lemah untuk mengetahui hakikat kejadiannya,mengapakah dia dicipta dan dimanakah kesudahannya.Oleh itu Allah s.w.t. tidak membiarkannya begitu sahaja.
Dengan akal kurniaan Allah s.w.t.,manusia cuba mengkaji alam ini,kedudukan dan matlamatnya.Tetapi dengan akal sahaja manusia tidak dapat mengatasi kelemahan yang sedia ada pada dirinya.Akal tidak mampu memahami sesuatu yang diluar batas kemampuannya tanpa petunjuk daripda Allah s.w.t.Kita melihat betapa mereka yang bernama ahli-ahli falsafah ketuhanan yang kononnya dengan membelakangkan Wahyu ilahi,telah meletakkan manusia yang mulia kejadiannya mengabdikan diri kepada sesama manusia,kebendaan,haiwan,kayu,batu,dan perkara-perkara ghaib yang diada-adakan.

Dengan akal sahaja tidak cukup bagi manusia untuk membezakan baik dan buruk menurut Fitrah Insaniyyah yang sebenarnya.Disamping itu terdapat perkara-perkara ghaib yang hanya dapat diketahui melalui Wahi dan Syara' seperti beriman dengan Allah s.w.t. dan sifat-sifatnya yang Maha Tinggi dan Maha Sempurna,beriman dengan malaikat,Hari Qiamat,Kebangkitan dan lain-lain

Sesungguhnya Allah s.w.t. itu Maha Adil lagi Maha Bijaksana,dimana manusia ditugaskan menjadi khalifah dengan segala kelayakan yang ada pada mereka tidak dibiarkan begitu sahaja.Adanya manusia itu penting untuk memikul amanah di muka bumi yang menjadi tanda kebesaran Allah s.w.t.Manusia perlu dibimbing samada bagi dirinya juga peranannya yang besar itu.Sesungguhnya Allah s.w.t yang menjadikan manusia dan bumi tempat kediamannya,juga pencipta segala bahan-bahan alam yang mempunyai hubungan dengan manusia itu,tidak membiarkan manusia begitu sahaja.Diantara keadilan Allah s.w.t yang Maha Tinggi terhadap manusia yang memikul amanah didunia ini dan bertanggung jawab diatas apa yang dilakukan ,maka diturunkan ajaran yang mengatur seluruh fitrah mereka yang meliputi rohani,jasmani,individu, masyarakat,moral dan material.Juga dijelaskan perbezaan antara petunjuk dengan kesesatan,hak dan batil yang memberi manfaat dan mudharat dan seterusnya natijah daripada apa yang dilakukan oleh mereka samada ke syurga atau neraka.Ajaran yang dipanggil Islam ,menjadi penyuluh bagi manusia mengenali Tuhan pencipta alam termasuk juga manusia,agar kepadanya sahaja diabdikan diri dan petunjuknya sahaja yang membawa kebahagiaan di awal dan di akhir.

Allah s.w.t melahirkan para Anbiya' 'Alaihi Mussolatu Wassalam untuk mengajak manusia dan juga meminpin mereka sejak Nabi Adam 'Alaihissalam bersama-sama keturunannya yang pertama dan diteruskan oleh Nabi-nabi yang lain sehingga Nabi Muhammad s.a.w (Nabi akhir zaman).Islam dibawa oleh Rasul-rasul untuk menyelamatkan manusia agar tidak terpesong dari jalan yang sebenar seperti mana firman Allah s.w.t:
Manusia itu adalah umat yang satu (setelah timbul perselisihan),maka Allah mengutuskan para Nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan dan Allah menurunkan bersama mereka kitab dengan benar ,untuk memberi keputusan diantara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan.Tidaklah berselisih tentang kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka kitab,iaitu setelah didatangkan kepada mereka keterangan yang nyata,kerana dengki antara mereka sendiri.Maka Allah meminpin orang-orang beriman kepada kebenaran yang mereka perlisihkan itu dengan kehendaknya dan Allah selalu memberi petunjuk kepada orang-orang yang dikehendakinya ke jalan yang lurus. (al-Baqarah 213)

Ayat tersebut menyatakan bahawa manusia itu pada asalnya mengikut petunjuk agama sebenar kemudian bertelingkah lalu melakukan kejahatan di bumi dengan menentang jalan yang sebenar kerana ada antara mereka menciptakan jalan sendiri.Oleh kekufuran dan tipu daya syaitan menyebabkan mereka lupa atau sengaja melupakan jalan Allah s.w.t,lalu Allah s.w.t melahirkan para Anbiyya'(nabi-nabi) untuk mengembalikan mereka ke jalan yang sebenarnya disamping memberi khabar gembira dan peringatan.

Menurut riwayat Ibn Abas r.a bahawa jarak masa diantara nabi Adam dengan Nabi Nuh a.s ialah sepuluh kurun.Dalam jangka masa itu manusia masih berada dijalan yang benar ,sehinggalah berlaku penyelewengan lalu Allah s.w.t mengutuskan Nabi Nuh a.s dan diikuti selepasnya dengan rasul-rasul yang silih berganti dalam syari'at Allah s.w.t menurut keperluan umat dan masa,sehinggalah dibangkitkan nabi kita,Muhammad s.a.w untuk seluruh pelusuk dunia dan setiap masa sebagai nabi penyudah ketika suasan benar-benar memerlukan Rasulullah yang menghadapi dunia akhir zaman dengan ciptaan baru yang mencabar seluruh kehidupan di bumi Allah s.w.t. ini.

No comments:

Post a Comment